Saturday 29 October 2011

Sembang-Sembang Student 2011


Assalamualaikum wbt dan Salam sejahtera. Salam 1 Malaysia.


Tempat: TV Lounge, Octagon Centre, University of Sheffield
Tarikh: 28hb Oktober 2011
Masa: 7.30 petang – 9.00 malam

Program Sembang-Sembang Student ialah program pertama dalam perangkaan aktiviti KUSheff untuk tahun 2011. Program ini terbuka kepada pelajar tahun dua dan tahun tiga jurusan kejuruteraan kimia, mekanikal dan elektrikal . Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila disertai oleh 45 orang pelajar.

Objektif  Program Sembang-Sembang Student ini ialah:
  • Memberi pendedahan tentang kepentingan untuk mendapatkan pencapaian terbaik dalam tahun kedua supaya mereka dapat menyambung pelajaran ke tahap MEng.
  • Perkongsian pengalaman daripada pelajar tahun tiga yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.
  • Perkongsian tips-tips pembelajaran yang effektif
  • Mengeratkan ukhuwah antara pelajar-pelajar di Sheffield.

Program ini dimulakan seawal jam 7.30 petang di TV Lounge, Octagon Centre yang berdekatan dengan kawasan University of Sheffield. Ini bagi memudahkan kepada semua pelajar yang tinggal di kawasan berhampiran untuk hadir.

Peserta-peserta telah dibahagikan ke dalam kumpulan kecil mengikut jurusan iaitu kejuruteraan kimia, mekanikal dan elektrikal. Setiap kumpulan mempunyai pelajar tahun tiga sebagai mentor dan mereka bebas untuk berkongsi serta bertanyakan pendapat tentang sistem pembelajaran di University of Sheffield. Program ini dianjurkan khas untuk pelajar kejuruteraan sahaja kerana jurusan kejuruteraan merupakan jurusan yang mencabar apabila setiap pelajar perlu mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang dalam setiap semester untuk memastikan mereka dapat menyambung pelajaran ke tahap MEng.

Diharapkan dengan bantuan pelajar tahun tiga, mereka akan lebih bersedia dan bersemangat untuk berusaha mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Program ini tamat pada jam 9.00 malam.
Secara keseluruhannya, kesemua peserta amat berpuas hati dengan program yang telah dianjurkan dan mereka menggalakkan supaya program ini diteruskan untuk pelajar-pelajar baru yang akan datang melanjutkan pelajaran di University of Sheffield pada tahun hadapan.



Laporan disediakan oleh,
Izzati Ellyani Abdul Rahman
Exco Akademik
KUSheff 2010/2012